KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal melaksana proses rasionalisasi pengagihan atau kuota minyak masak bersubsidi pada masa akan datang.
KPDN komited pastikan bekalan cukup |
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu juga penting untuk memastikan pengagihan minyak masak bersubsidi dapat dilakukan secara adil di semua peringkat selain mengatasi kekurangan bekalan.
"Saya rasa sampai masanya untuk pihak kementerian melihat secara keseluruhan tentang bagaimana proses pengedaran minyak masak paket bersubsidi ini supaya tidak berlaku gangguan atau kekurangan di mana-mana peringkat pada masa akan datang,” katanya.
Salahuddin sebelumnya ditemui pemberita selepas membuat pemeriksaan ke sebuah kilang pembungkusan semula minyak masak bersubsidi dekat Kota Kinabalu petang semalam.
Sementara itu tambahnya, KPDN mengambil langkah proaktif itu susulan dapatan diperolehi daripada beberapa siri lawatan ke kilang pembungkusan semula minyak masak bersubsidi di seluruh negara.
Selain langkah tersebut kementerian juga jelasnya sedang menjalankan kajian atau audit menyeluruh bagi memastikan kilang pembungkus semula minyak masak bersubsidi mempunyai kemampuan membekalkan barang keperluan itu sama ada di peringkat daerah mahupun bandar.
"Selepas audit itu selesai dilakukan maka pengagihan (minyak masak bersubsidi) dengan lebih adil dapat dilakukan. Kita akan mengurus dan menyelaraskan semula (pengagihan atau kuota tersebut).
"Di mana kawasan yang perlu (atau) kuota kurang, kita akan tambah supaya kita dapat mengatasi isu kekurangan bekalan ini di masa akan datang,” jelas Ahli Parlimen Pulai itu.
Menyentuh mengenai masalah kekurangan bekalan minyak masak di Sabah, Salahuddin menjelaskan negeri itu berdepan masalah kurang kilang pembungkusan semula minyak masak bersubsidi yang menjadi antara punca berlaku kekurangan bekalan di pasaran.
Sehubungan itu, kementeriannya komited untuk mengatasi masalah itu termasuk dalam aspek memastikan pengagihan minyak masak bersubsidi dapat dilakukan secara adil di semua peringkat di Sabah dalam masa terdekat.