PRESIDEN parti KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan sekutunya DAP dari serangan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr. Mahathir Mohammad.
PM sangkat dakwaan dibuat Tun M |
Pada ucapan pelancaran Buku Adab Perbezaan Pendapat dalam Pengukuhan Perpaduan Nasional di Putrajaya semalam, beliau yang juga Perdana Menteri menegaskan parti komponen Pakatan Harapan itu tidak mempertikaikan keperluan program untuk orang Melayu-Islam.
“DAP dalam Jemaah Menteri dah tujuh bulan, ketua setiausaha negara (Zuki Ali) ada dalam mesyuarat. Tiada satu pun mereka pertikai program untuk orang Melayu, untuk orang miskin atau Islam sekalipun,” katanya.
Terdahulu Mahathir membuat tuduhan kononnya DAP mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berbagai kaum dengan agama rasmi digantikan dengan negara sekular (iaitu) negara yang tidak ada agama rasmi.
Dia malah menuduh Anwar menjadi boneka DAP dalam kerajaan.
"Ada dibahaskan (kata) kita tunduk kerana dokongan parti berasaskan Cina, DAP yang menguasai (kerajaan).
"Perdana menteri adalah saya, saya bukan boneka sesiapa.
"Alhamdulillah umur (saya) akan cecah 76 tahun. Saya tak boleh dibeli dengan wang ringgit, kalau boleh dibeli saya dah melencong lama dah," kata Anwar menjawab semua tuduhan Mahathir.
Sementara itu Anwar mengingatkan Mahathir supaya tidak menyalahkan kegagalan menangani permasalahan ekonomi komuniti Melayu dan Islam yang berlarutan sejak sekian lama pada pihak lain.
Tegasnya, jika seseorang itu sudah mentadbir selama berdekad dan gagal, maka ia adalah kesalahan dirinya sendiri.
"Mengapa ekonomi Melayu tak (belum) diangkat? Mengapa semua saya mesti selesaikan dalam masa tujuh bulan, dengan hutang (negara) RM1.5 trilion," katanya dengan menegaskan berbeza dengan hutang negara yang terkumpul ketika pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein kerana membasmi kemiskinan dan menubuhkan Felda, hutang negara pada era kemudiannya digunakan untuk membiayai projek mega dan penyelewengan.