Terkini

Anwar: pemimpin yang lahir dari asas Melayu, Islam

 Oleh: ABDUL RAHIM SABRI | Berasal daripada keluarga berlatar belakang politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lahir di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam menyerlahkan bakat kepimpinan sejak di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) antara 1960 hingga 1966.

Menjadi pengawas ketika tingkatan enam, beliau petah berpidato hingga memukau para juri beberapa pertandingan. Tidak hairan seorang juri pernah menyebut Anwar ada potensi menjadi pemimpin negara pada suatu masa kelak.

Belajar di Universiti Malaya dalam bidang pengajian bahasa Melayu antara 1968 hingga 1971, beliau memimpin Persatuan Bahasa Melayu selain mengepalai gerakan pelajar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Pada awal dekad 1970-an, kepimpinan beliau selaku mahasiswa kian menonjol. Beliau dianggap wira apabila mengetuai kempen menobatkan bahasa Melayu di kampus itu. Papan tanda berbahasa Inggeris dicat sebagai tanda protes.

“Papan tanda yang ada tulisan dalam bahasa Inggeris akan dicat di seluruh kampus universiti termasuk tulisan ‘vice chancellor’,” kata Amin Ahmad, penulis buku biografi Anwar Ibrahim: Dari Cherok To’ Kun ke Kuala Kangsar.

Pada 1971, Anwar bersama beberapa rakan menubuhkan Yayasan Anda Akademik (foto) bagi menyediakan peluang kepada pelajar sekolah kerajaan yang tidak bernasib baik untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurut bekas pelajar Nurul Aini Abd Rashid dalam tulisannya di Facebook pada 24 November 2022, penubuhan institusi swasta berkenaan bertujuan membantu golongan susah dan tercicir.

Anwar juga mewajibkan pelajar perempuan bertudung untuk mengikuti pengajian di situ, katanya sambil menambah pemakaian sedemikian belum diwajibkan di sekolah. Rata-rata pelajar perempuan sekolah kerajaan tidak bertudung ketika itu.

“Dia merupakan cikgu kesayangan ramai murid dan rata-rata sangat gembira bila Cikgu Anwar masuk kelas dan mengajar. Dalam pengajarannya, dia akan selitkan unsur-unsur dakwah,” kata Nurul Aini.

Dalam lingkungan waktu sama, Anwar juga mengasaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) bersama beberapa agamawan. Dari jawatan setiausaha agung pada 1972 menjadi presiden kedua Abim dua tahun kemudian.

Kedudukan itu menggiatkan lagi usaha beliau menerapkan nilai-nilai Islam kepada masyarakat. Sedikit demi sedikit, semakin ramai pelajar bertudung di universiti.

Pada 1974, Anwar terlibat dalam demonstrasi mahasiswa di Kuala Lumpur bagi membela rakyat miskin di Baling susulan penurunan harga getah. Akibatnya, beliau dipenjara bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hampir dua tahun.

Beliau mengejutkan banyak pihak apabila meninggalkan Abim pada 1982 dan menyertai Umno. Anwar kemudian menang kerusi parlimen Permatang Pauh pada tahun sama. Sejak itu, beliau menyandang pelbagai jawatan timbalan menteri dan menteri.

Antara 1982 hingga 1983, beliau menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, menteri kebudayaan, belia dan sukan (1983-1984), menteri pertanian (1984-1986), menteri pelajaran (1986-1991), menteri kewangan (1991-1998) dan timbalan perdana menteri (1993-1998). Beliau juga memangku jawatan perdana menteri pada 1997.

Bawa perubahan

Sejak berada dalam kerajaan, Anwar mendukung penubuhan Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa, kedua-duanya pada 1983.

Ketika menerajui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Anwar mencadangkan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) meliputi acara tenis, ping pong, berbasikal, olahraga dan bola tampar. Temasya itu menjadi kenyataan pada 1986.

Ketika menjadi menteri pertanian selama dua tahun, kementeriannya memperkenal konsep perniagaan pasar tani pada 1985 untuk memudahkan petani memasarkan hasil mereka.

Bawah pimpinannya, Kementerian Pelajaran memperkenal pemakaian tudung dan seluar panjang dalam kalangan pelajar. Anwar juga terlibat dalam memperkenal Falsafah Pendidikan Negara. Beliau mendukung pembentukan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) melalui program mikrokredit untuk golongan miskin meningkatkan pendapatan.

Pada peringkat antarabangsa, Anwar ada hubungan erat dengan pertubuhan belia Islam sedunia antaranya World Assembly Muslim Youth (WAMY) dan International Islamic Federation of Student Organization (IIFSO).

Beliau bersama Prof Ismail Faruqi mengasaskan Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT) selain menjadi penggerak penubuhan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) yang diketuai Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Pada 1993, majalah kewangan terkemuka dunia menobat Anwar sebagai ‘Top Four Finance Minister’ manakala majalah Asiamoney mengangkat beliau sebagai menteri kewangan terbaik Asia pada 1996.

Anwar memahami kesengsaraan rakyat terbanyak
Tahun kedua menjadi menteri kewangan, dibantu kerancakan ekonomi dunia, Anwar membentang belanjawan yang mencatat lebihan (surplus) hingga 1998. Sejak itu hingga kini, Malaysia tidak pernah mengulangi pencapaian sama.

Pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada 2 September 1998 menyaksikan kebangkitan rakyat. Biarpun tiga kali dipenjara, Anwar menggembleng parti-parti pembangkang hingga pemerintah sedia ada tumbang pada 2018.

Selepas kemelut politik berlarutan ekoran Langkah Sheraton, Anwar yang memimpin Pakatan Harapan, biarpun tidak memperoleh kerusi mencukupi, akhirnya ke puncak kuasa selepas 24 tahun sebagai pemimpin pembangkang.