SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah,
Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan
dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.
Tunai tanggungjawab, pilih dengan bijak |
Pengerusi
SPR, Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon di keenam-enam
negeri berkenaan pula ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal
pada 8 Ogos.
Ghani berkata, tempoh berkempen selama 14 hari bermula 29 Julai hingga 11 Ogos.
"Tarikh
tutup (permohonan pengundian awal) bagi petugas pilihan raya, polis,
tentera, petugas media pada 26 Julai, sementara rakyat Malaysia di luar
negara dan agensi atau mana-mana organisasi masing-masing pada 8 Julai
dan 11 Julai," katanya pada sidang media khas sempena PRN enam negeri.
Beliau
berkata, PRN enam negeri itu akan menelan kos RM420 juta, dengan
153,760 petugas dilantik mengendalikan proses pengundian di 3,450 pusat
mengundi dan 17,425 saluran mengundi.
Menurutnya, bilangan
pemilih yang terlibat dalam PRN kali ini adalah mengikut data terkini
Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemas kini sehingga Jun lalu.
"PRN
ini mengguna pakai daftar pemilih sehingga 21 Jun lalu, iaitu 9,773,571
pemilih terdiri daripada 9,674,456 pengundi biasa, 49,660 anggota
tentera dan pasangan, 47,728 anggota polis dan pasangan serta 1,727
pengundi luar negara.
"SPR telah menerima notis pembubaran rasmi
Dewan Undangan Negeri Yang ke-14 bagi kesemua enam negeri iaitu Kedah,
Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan
daripada Speaker DUN masing-masing," katanya.
-AA