PERDANA MENTERI memberi jaminan bahawa beliau tidak akan sesekali memcampuri urusan keadilan yang dipertanggungjawabkan kepada badan kehakiman negara.
Campur tangan dalam kehakiman akan merosakkan |
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ucaptama di Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2023 di Kuala Lumpur pada Isnin berkata, beliau tidak akan menggunakan walau sedikit pun kuasa untuk mencampuri urusan badan kehakiman itu.
"Hari ini saya boleh mengatakan dengan pasti bahawa sejak saya menjadi Perdana Menteri, saya tidak menceroboh kawasan suci ini walau seinci pun, malah akan mempertahankannya dengan apa jua kos untuk kebebasan badan kehakiman.
"Harus untuk saya memuji Ketua Hakim Negara kita Tun Tengku Maimun Tuan Mat atas keberaniannya dalam mengukuhkan kita terhadap badan kehakiman, iaitu keteguhan pendiriannya mengenai kebebasan kehakiman dalam menghadapi serangan tanpa henti.
"Sekali gus peranannya itu menjanjikan sinar dan harapan," kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pencabulan dalam prinsip pengasingan kuasa secara terang-terangan oleh mereka yang memegang tampuk kuasa terdahulu, sudah menyaksikan serangan yang kejam kepada badan kehakiman negara.
Ia jelasnya adalah kemuncak kepada kemerosatan proses kehakiman itu sendiri terutamanya dalam kes yang membabitkan ahli politik, seterusnya memberi ancaman serius kepada badan itu.
"Dijadikan tebusan mengakibatkan hakim-hakim berkenaan membuat keputusan kehakiman yang benar-benar menyingung keadilan dan hati nurani kita," tambah Anwar.
Pada ucaptama itu juga beliau turut mengulas isu salah laku dan rasuah dengan berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkaji Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Langkah itu menurutnya sebagai usaha memperluaskan perlindungan serta memberi pelindungan kepada agensi tertentu tanpa ada perasaan takut dihukum.
"Tidak ada satu hari yang berlalu pun tanpa saya berteriak memerangi rasuah. Walaupun kita tidak mempunyai empayar Roman tetapi sejarah negera kita sudah dicemari dengan salah guna kuasa dan rasuah.
"Ia sudah meresap dalam masyarakat dan menghalang kemajuan dan aspirasi negara kita serta melemahkan asas tadbir urus yang baik," tegasnya sambil menyeru semua pengamal undang-undang untuk menyokong setiap insiatif kerajaan dalam mengadakan tadbir urus yang baik melalui ketelusan serta mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan salah guna kuasa.