Usaha tarik pelaburan dipergiat |
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata, sebagai sebahagian usaha itu Malaysia telah mewujudkan sandbox kawal selia untuk menggalakkan inovasi dan menyediakan ruang selamat untuk menguji idea baharu.
"Kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai program insentif dan geran untuk menyokong syarikat permulaan teknologi dan menarik pelaburan langsung asing," katanya.
Perkara itu dinyatakan Teo pada ucaptama bertajuk "Teknologi Memacu Perubahan" di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Shanghai 2023 di China semalam.
Sementara itu tambahnya, Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat teknologi antarabangsa, pelabur dan inovator.
Malaysia tegasnya merupaka lokasi strategik untuk syarikat teknologi mengembangkan pelaburannya ke rantau Asia sekaligus merealisasikan sepenuhnya potensi pelaburan teknologi dan digital rantau ini.
"Dengan bekerjasama, kami dapat memanfaatkan kekuatan kami, berkongsi pengetahuan dan memacu perubahan transformatif dalam industri," katanya.
Selain itu tambahnya, ekonomi digital adalah antara tonggak utama ekonomi Malaysia, menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2021.
"Angka ini diunjurkan meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025," katanya
MWC Shanghai 2023 yang berlangsung dari 28 hingga 30 Jun 2023 menyaksikan penyertaan kira-kira 300 peserta pameran, termasuk pemain global besar seperti Huawei.