KENYATAAN stesen televisyen Awesome TV yang menggesa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil tidak mencampuri hal-hal komersial mereka dengan pembekal dikritik beberapa persatuan perfileman.
Awesome TV digesa minta maaf kepadaFahmi |
Melalui satu kenyataan, mereka mempertahankan pendirian Fahmi pada sesi Town Hall Industri Kreatif di RexKL baru-baru ini supaya Awesome Tv segera melunaskan hutang tertunggak kepada penggiat seni termasuk kes saman membabitkan beberapa penerbit.
Tindakan Awesome TV meminta Fahmi tidak campur tangan dianggap kenyataan biadap serta memperlekehkan peranan menteri dalam memperjuangkan nasib penggiat seni.
Mereka menuntut agar stesen tersebut segera membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
“Kami menyarankan agar pihak Awesome TV memohon maaf secara terbuka kepada Fahmi Fadzil atas kekasaran kenyataan mereka.
"Kami juga khuatiri perkara ini dieksplotasi oleh pihak tertentu untuk dijadikan agenda dan polemik politik,” kata Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Dr Ahmad Ibrahim.
Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) Pansha pula dalam kenyataan sama mahu Awesome TV bersikap profesional dan menyelesaikan permasalahan dihadapi mereka.
“Walaupun banyak kali membuat rundingan dengan Awesome TV dilakukan, namun penyelesaiannya gagal dan hambar. Mengheret penerbit dan penggiat seni ke mahkamah untuk menyelesaikan isu dalaman penyiar, bukanlah satu solusi yang bijak, baik dan jujur.
“Masalah ini harus diselesaikan secara tuntas oleh Awesome TV tanpa melibatkan pihak lain termasuk menggunakan saluran media,” katanya.
Senada dengan mereka, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) Khalil Saleh berkata persatuan itu menyokong penuh campur tangan menteri bagi membantu menyelesaikan masalah luar biasa Awesome TV yang memberi kesan kepada semua pihak terutamanya penerbit
“Sebagai penyiar yang telah dilesenkan oleh kerajaan, Awesome TV seharusnya mempunyai sikap yang lebih profesional, bertanggungjawab dan menerima baik teguran dari Menteri KKD,” katanya.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi pula menyarankan Awesome TV serta vendor terlibat dapat berjumpa secara terus dengan Fahmi untuk meleraikan permasalahan dalaman mereka, khususnya aspek penyiar atau penerbitan program secara beradab.