PEMIMPIN pembangkang digesa memainkan peranan lebih proaktif di Dewan Rakyat dengan mengangkat isu-isu dasar dengan lebih berstruktur selain mengemukakan idea yang membawa kepada penyelesaian masalah.
Pembangkang perlu bawa perdebatan struktural |
Gesaan itu dilontar Penyelidik Kanan Merdeka Center, Fakrurrazi Rashid semasa menjadi tetamu pada program Agenda Awani yang disiarkan baru-baru ini.
Tegas Fakrurrazi, pembangkang tidak wajar mengulangi isu politik termasuk mencabar keabsahan sokongan kepada Perdana Menteri dan mengkritik kerajaan semata-mata.
“Pembangkang itu bukan kerjanya hanya mengkritik kerajaan dan hanya pergi ke Parlimen untuk menguji undi percaya kepada Perdana Menteri.
"Hari ini saya lihat, perdebatan antara kerajaan dan pembangkang itu seperti tiada perdebatan yang struktural.
“Tidak ada polisi yang konkrit bagaimana kita hendak menyelesaikan isu pekerja, ekonomi gig, aspirasi anak muda yang mempunyai keluarga dan mempunyai masalah ekonomi dan sebagainya," jelasnya.
Beliau merujuk tindakan pembangkang yang hanya mengulangi desakan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedangkan kerajaan telah menegaskan pendirian tiada lagi pengeluaran khas akan diberikan bagi melindungi masa depan pencarum.
"Kerajaan dan pembangkang perlu berjiwa besar. Debat dasar dan polisi yang lebih baik untuk masyarakat,” tambahnya.
Fakrurrazi sementara itu menegaskan tugas pembangkang sebagai semak dan imbang yang berkesan kepada kerajaan perlu diterapkan demi membentuk demokrasi yang lebih matang dalam negara.
“Kalau kita lihat definisi pembangkang dalam konteks pembangkang berwibawa, kalau pada tahun 1960-an dan 70-an, kita melihat pembangkang sebagai musuh ketat kerajaan. Perkara ini sebenarnya perlu berubah,” jelasnya dalam program itu.