SEKTOR swasta diharap boleh membantu kerajaan dengan memberikan komitmen dan menjalinkan kerjasama bagi merealisasikan dasar kenaikan gaji yang progresif dalam menghadapi isu berkaitan kenaikan kos sara hidup.
Tak lagi boleh urus ekonomi ikut cara lama |
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan memerlukan dasar komprehensif melibatkan pihak swasta dan awam untuk bertindak merapatkan jurang ketara antara pertumbuhan gaji ramai dengan kenaikan kos sara hidup.
Kerajaan Perpaduan jelasnya telah dan sedang berusaha menangani isu berkaitan harga barangan dan juga inflasi, namun sekiranya gaji tidak naik secara berkala, isu harang barangan dan kenaikan kos sara hidup tetap tidak akan dapat diselesaikan.
"Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya berbincang mengenai isu ini, kami sedar semua orang akan ada kekangan sama ada di pihak kerajaan mahu pun swasta dengan majikan termasuk media mungkin akan kata kita tak ada duit.
"Kekangan itu akan ada sampai bila-bila, tetapi dalam masa sama kita perlu cari jalan untuk memulakan langkah bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah MADANI di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti di Alor Setar semalam.
Pada Jumaat Perdana Menteri memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan akan membincangkan soal mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam.
Ia berikutan tiada kenaikan diberikan kepada penjawat awam bagi tempoh yang agak lama, dengan kali terakhir skim gaji berkenaan disemak adalah pada 2013 melibatkan kira-kira 1.6 juta orang.
Sementara itu Rafizi berkata kerajaan tidak boleh lagi menguruskan ekonomi mengikut cara lama iaitu dengan cara memberikan tumpuan sepenuhnya aspek pelaburan semata-mata sehingga menyebabkan golongan kaya semakin kaya, namun pertumbuhan kekayaan itu tidak sampai kepada rakyat keseluruhannya.
Justeru katanya, telah tiba masanya untuk isu berkenaan dibincangkan, dan ketika ini sudah ada petanda mengenai ekonomi negara semakin bertambah baik, terutamanya dari segi penurunan inflasi, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan masuk ke dalam negara yang tinggi.
"Fokus utama sekarang adalah menangani kemiskinan tegar, kita perlu mengutamakan isu ini terlebih dahulu dengan cara mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui pertanian dan keusahawanan. Perhatian segera kita adalah untuk menangani soal pendapatan.
"Pada masa sama, kita akan menumpukan kepada pelaburan dan bidang lain. Jika kita 100 peratus semata-mata menumpukan perhatian hanya untuk menarik pelabur, lazimnya di Malaysia, bahawa kekayaan yang dijana tidak sampai kepada rakyat, menyebabkan orang kaya semakin kaya manakala wang itu gagal sampai kepada rakyat," tambah Timbalan Presiden KEADILAN itu lagi.