PENGOPERASIAN Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dilihat semakin cekap dan baik.
Isu kesesakan pintu sempadan berjaya diatasi |
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata isu kesesakan di laluan antara Johor dan Singapura yang dibangkitkan sebelum ini sudah dapat ditangani dengan lebih baik dan berkesan dengan kerjasama strategik dan berterusan daripada semua pihak.
Tambahnya, beliau telah menerima maklum balas yang positif berhubung kecekapan dan kesiapsiagaan pengoperasian di kedua-dua pintu masuk itu.
"Meskipun isu kesesakan ini semakin baik di kedua-dua CIQ, ini tidak bermakna kita semua sudah boleh berpeluk tubuh.
"Komitmen perlu diteruskan dan tahap kesiapsiagaan perlu dikekalkan bagi memastikan operasi keluar masuk sempadan negara sentiasa lancar agar ia dapat menjamin kesejahteraan rakyat dan pengembara serta meningkatkan imej Johor dan Malaysia di mata dunia," katanya di laman Facebook.
Sementara itu, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang membantu memastikan kelancaran di kedua-dua CIQ terbabit.
Untuk rekod, Onn Hafiz pada Mei lalu turun padang meninjau keadaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Pada tinjuannya, beliau menyuarakan rasa kurang senang terhadap isu kesesakan di pintu sempadan negara.
Susulan itu Kerajaan Johor dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangani isu tersebut termasuk membabitkan isu teknikal.