KERAJAAN memberi jaminan harga barangan asas terutama yang diberikan subsidi
tidak akan naik secara melampau pada tahun ini, kata Menteri Perdagangan
Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
KPDN telah adakan sesi libat urus dengan industri |
Beliau berkata, jaminan itu dibuat berdasarkan libat urus yang diadakan kementeriannya bersama pemain industri.
Menurutnya,
jika ada 'permintaan' untuk menaikkan harga barang, perkara itu akan
dibawa ke 'meja rundingan' terlebih dahulu untuk dibincangkan.
"Berdasarkan
libat urus, kita sudah panggil 30 industri di kementerian minggu lepas,
mereka semacam memberikan kata sepakat tidak mungkin berlaku kenaikan
(harga) yang melampau.
"Kalau ada pun, kita akan runding kembali
untuk kita lihat harga-harga tersebut," katanya pada sidang media
selepas melakukan tinjauan di sebuah pasar raya besar di Setapak, hari
ini.
Mengulas program turun padang yang dilakukannya, Salahuddin
berkata, ia adalah lawatan rutin untuk meninjau sendiri situasi sebenar
di pasar raya, kedai runcit dan premis berkaitan di seluruh negara
selepas timbul dakwaan mengatakan harga barang keperluan rakyat akan
naik mendadak, baru-baru ini.
"Untuk kami lebih bertanggungjawab,
maka Kerajaan Madani pergi sendiri (turun padang). Bukan kerana tuduhan
itu, memang tanggungjawab KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup) setiap hari, kita pantau kawalan harga barangan asas
rakyat.
"Maka dengan ini, saya menyatakan bahawa tinjauan KPDN
mendapati pertama sekali barang-barang bersubsidi yang kerajaan bagi,
(harga) tidak pernah naik dan tidak mungkin naik buat masa ini,"
katanya.
Mengenai dakwaan harga barang dijangka meningkat
sehingga 20 peratus menjelang Oktober ini, Salahuddin berkata, tidak ada
kerajaan di dunia ini berupaya mengawal semua harga barang.
Katanya, kerajaan adalah bertanggungjawab untuk mengawal harga barang asas rakyat.
"Itu saya rasa kalau ada yang meramalkan berlaku kenaikan (harga pada) Ogos hingga September, itu masih belum berlaku.
"Tugas
kerajaan kita mengawal harga ini setiap hari dan kita ambil perhatian
sekiranya ada laporan (harga) akan naik itu. Tapi itu masih belum
berlaku," katanya.
-AA