MALAYSIA dan Laos tekad menjalin kerjasama dalam pelbagai sektor ke arah memperkasa rantau ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia sedia membantu Laos untuk menggalas kepengerusian ASEAN menjelang tahun hadapan.
Malaysia kukuh kerjasama dengan negara jiran |
Katanya, Malaysia yakin Laos selaku Pengerusi ASEAN kelak bakal membuka lebih banyak ruang kerjasama antara ASEAN dan Wilayah Mekong.
"Malaysia dan Laos sedia bekerjasama dalam pelbagai sektor ke arah memperkasa rantau ASEAN," katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Laos, Dr Sonexay Siphandone di Vientiane, Laos.
Pada masa yang sama, Anwar turut mempelawa Laos memanfaatkan kepakaran halal Malaysia untuk membolehkan negara itu memasuki pasaran pengguna Islam yang lebih besar.
"Kita mempunyai kelebihan kecil dalam industri makanan halal yang saya fikir anda (Laos) perlu memanfaatkannya supaya dapat mengembangkan eksport ke negara Islam dan Timur Tengah," kata beliau.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri turut berkata peningkatan ketara pelaburan antara kedua-dua negara menunjukkan perkembangan positif bukan hanya untuk Malaysia tetapi juga Laos.
Menurutnya, tahun 2022 merekodkan peningkatan sebanyak 425 peratus dan beliau percaya usaha meningkatkan lagi pelaburan akan disegerakan selepas meneliti potensi yang ada.
"Saya percaya, InsyAllah akan disegerakan dan dipercepatkan selepas melihat banyak potensi. Saya harus berterima kasih kepada kerajaan dan sokongan anda untuk usaha kami.
"Kami telah berada di sini pada mulanya dengan loji hidro, dengan sokongan anda. Melihat tahap kejayaan itu, kami melihat Tenaga Nasional menyertai usaha itu dan dari segi teknologi boleh diperbaharui, anda mempunyai potensi yang sangat besar.
"Kerjasama antara Tenaga Nasional Berhad dan Electricite du Lao dalam tenaga boleh diperbaharui, ia adalah sesuatu yang kami sokong dan terima kasih sekali lagi atas sokongan anda dan sokongan kerajaan anda," katanya.
Ini merupakan Lawatan Rasmi sulung Anwar ke Laos selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lepas adalah atas undangan Siphandone.
-AA