SATU langkah agresif perundangan bakal diambil Putrajaya bagi menentang “award palsu” dituntut kononnya dari waris Kesultanan Sulu.
Kerajaan mahu matikan tuntutan palsu 'waris Sulu' |
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata, tindakan itu termasuk saman kepada pihak berkenaan bagi “mematikan” sama sekali tuntutan seumpama itu.
"Kita akan membuat satu 'legal opinion' dari segi kajian sama ada kerajaan bersetuju apa tindakan perlu kita buat terhadap mereka, sama ada perlu kita saman untuk kerugian yang kita hadapi.
"Perjuangan belum tamat, tapi bagi Malaysia kita perjuangkan secara adil," katanya pada sidang media Malaysia-Kes Sulu, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia di Kuala Limpir semalam.
Pada Selasa, Mahkamah Rayuan The Hague menolak permohonan lapan individu yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, menguatkuasakan award timbang tara USD15 bilion terhadap kerajaan Malaysia.
Ia selepas Mahkamah Rayuan Paris awal bulan lalu membatalkan award USD15 bilion diputuskan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa.
Tuntutan waris Kesultanan Sulu bermula apabila kumpulan itu memohon timbang tara di Sepanyol susulan kerajaan Malaysia membatalkan bayaran tahunan selepas pencerobohan Lahad Datu.
Sepanjang tempoh empat tahun, Kerajaan membelanjakan RM31 juta bagi kos perundangan bagi menghalang tuntutan pihak tersebut.
Kos itu termasuk bayaran perkhidmatan peguam antarabangsa, prosiding mahkamah, terjemahan, penyelidikan sejarah dan perundangan yang bermula dari 20 Nov 2019 hingga 20 Jan lepas.
"Tuntutan Kumpulan Sulu untuk mendapatkan AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia melalui proses timbang tara, boleh disifatkan sebagai 'satu bentuk peperangan baharu'.
"Itu adalah satu serangan yang sofistikated dan kerajaan memberi jaminan akan melakukan gerakan secara agresif untuk 'mematikannya'," tambahnya.
Sementara itu Azalina menegaskan secara teknikalnya, kumpulan itu boleh melakukan tuntutan di mana-mana 150 negara yang menandatangani Konvensyen Timbang Tara New York.
Bagaimanapun, beliau berkata, “forum shopping” yang dibuat kumpulan berkenaan hanya dapat diambil menerusi sokongan kewangan disediakan oleh pembiaya litigasi Therium Group.
Justeru, beliau berkata, Jabatan Peguam Negara akan menghubungi Therium bagi memberi perincian bagi menghentikan Therium mendanai tuntutan (kononnya dari waris Sulu) itu.