TINDAKAN Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari yang mendesak Menteri Belia dan Sukan dan timbalannya memohon maaf susulan prestasi atlet Malaysia pada sukan SEA ke-23 di Kemboja yang tidak memenuhi sasaran 40 pingat emas ditempelak.
Tak wajar letak kelemahan pada menteri dan timbalan |
Naib Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Ariff Bashiruddin Rusli berkata, Ahli Parlimen Pasir Mas itu seharusnya 'bercermin diri' terlebih dulu sebelum membuat gesaan itu.
Beliau turut menegaskan Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abdul Halim tidak boleh mereka dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas prestasi buruk atlet negara di Kemboja.
“Sebelum galak mendesak orang lain minta maaf, sepatutnya kita cermin diri sendiri dahulu dan lihat sejauh mana prestasi pasukan sendiri dalam arena sukan.
“Pada Sukma 2022, pasukan Kelantan berada di kedudukan kedua tercorot.
“Ahli Parlimen Pasir Mas itu bercakap bagaikan Kelantan ini adalah juara bertahan dalam Sukma, dan juga jaguh liga bola sepak negara," katanya dipetik laporan Malaysia kini.
Ahmad Fadhli dalam catatan di Facebooknya antara lain berkata, selaku pemegang teraju di KBS, menteri wajib melaksanakan post-mortem menyeluruh dan bukannya hanya menyalahkan atlet yang berjuang di bawah keadaan serba kekurangan disebabkan kegagalan 'master plan' KBS.
Langkah itu katanya perlu didahului dengan ucapan maaf secara terbuka kepada semua peminat sukan Malaysia.
Bagaimanapun Ariff Bashiruddin mengingatkan Ahmad Fadhli bahawa dalam keadaan menteri dan timbalan menteri baru saja memulakan tugasnya, tidak wajar pencapaian buruk atlet di sukan SEA itu dipertanggungjawabkan terhadap mereka.
Beliau turut mengingatkan peranan ahli politik yang seharusnya punya semangat untuk membina rakyat, negeri dan negara, bukannya sekadar terlolong-lolong mencari publisiti.
“Sedangkan ketika asyik menuding seluar orang yang terkoyak, rupanya jubah diri sendiri kainnya sudah terbelah,” katanya berkias.
Malaysia gagal menepati sasaran awal 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa pada kejohanan tahun ini sebaliknya meraih 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa.
Walaupun gagal memenangi 6 lagi pungutan pingat emas untuk menepati sasaran, namun jumlah keseluruhan pingat dimenangi pada temasya bermula pada 5 Mei - 17 Mei 2023 itu adalah sebanyak 176 berbanding sasaran awal 141 pingat.