PROKLAMASI MELAYU yang sedang diusahakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya tindakan politik, tanpa membawa faedah ketara kepada masyarakat Melayu Islam.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu tersebut sekadar naratif lama yang dimainkan semula bagi mendapat sokongan politik.
Isu Melayu dimainkan sejak puluhan tahun |
"12 perkara dalam proklamasi itu bukanlah sesuatu yang terlalu asing.
“Tidak ada apa-apa yang memberi inspirasi mengenainya, hanya naratif lama dan isu sama dimuntahkan semula, mengulangi perkara yang pernah dilakukan sebelum ini, antaranya Kongres Martabat Melayu dan Resolusi Ekonomi Melayu,” katanya.
Mohd Azmin sebelumnya melancarkan program Tabung Selamatkan Al-Aqsa di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di sini pada Rabu.
Pada 3 Mei, beberapa pemimpin Pas menandatangani 'Proklamasi Melayu' mengandungi 12 perkara yang menyentuh isu-isu orang Melayu.
Pengisytiharan itu kononnya bagi menyatupadukan masyarakat Melayu, selain menimbulkan ancaman untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan.
Walau bagaimanapun Mohd Azmi mempersoal alasan itu dengan berkata ia hanya retorik tidak berasas Mahathir dan Pas.
"Hanya Pulau Pinang ditadbir Ketua Menteri DAP, semua negeri lain ditadbir Menteri Besar dan Ketua Menteri Melayu, kabinet kerajaan Persekutuan juga dipenuhi orang Melayu. Apa yang Dr Mahathir maksudkan sebenarnya?
“Kalau Dr Mahathir kata orang Melayu lemah dan dikuasai oleh pihak lain, saya pun jadi tanda tanya juga. Kita tahu ekonomi memang di tangan orang bukan Melayu,”ujarnya.
Beliau turut menyelar tuduhan kononnya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melakukan apa-apa bagi memperkasa orang melayu.
"Adalah tidak adil mengatakan Anwar tidak melakukan apa-apa, banyak pencapaian dilakukan dalam 100 hari pertamanya. Sentiasa ada ruang penambahbaikan malah Anwar bersikap terbuka untuk kritikan membina.
“Kerajaan Perpaduan sekarang juga berjanji tidak akan membiarkan orang Melayu menjadi miskin. Ia bukan lagi tentang pengisytiharan tetapi tindakan dan pelaksanaan dasar yang penting.
“Kerajaan perpaduan telah menunjukkan kemajuan, ia harus didokong kerana kita tidak mahu lagi tersekat di tengah Jalan apabila sekali lagi kerajaan ditumbangkan. Ia sama sekali tidak boleh diterima, rakyat pun sudah jemu,” katanya dipetik.