
Malaysia sedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk lawan Islamofobia
ISLAMOFOBIA dan
semua tindakan kebencian serta keganasan terhadap individu berdasarkan
agama atau kepercayaan mesti ditolak, tegas Perdana Menteri Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Peringatan itu disampaikan Pengerusi Pakatan
Harapan (HARAPAN) itu melalui satu hantaran di laman Facebooknya sempena
memperingati “Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia” yang
disambut pada 15 Mac.
Bagi mencapai tujuan itu, beliau mewakili
Malaysia menyatakan kebersediaan untuk bekerjasama dengan masyarakat
antarabangsa secara konstruktif dan kolektif.
“Malaysia dengan
sepenuh hati menyertai masyarakat dunia dalam memperingati Hari
Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia pada 15 Mac.
“Ini
bukanlah suatu hari yang patut diraikan tetapi merupakan hari untuk
meningkatkan kesedaran masyarakat dunia dan keperluan tindakan untuk
menangani Islamofobia,” katanya.
Dalam hantaran itu juga beliau
mengingatkan agar rakyat di negara ini mengamalkan sikap kesederhanaan
sekaligus menolak ideologi ekstremis.
Untuk rekod, Perdana Menteri pada Dis lalu pernah membuat seruan sama.
Katanya,
usaha membenih dan menyemai budaya perpaduan tidak hanya terletak di
bahu pemerintah sebaliknya setiap rakyat mesti memainkan peranan yang
ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat
bersatu padu.
“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan dan kewajiban setiap kita untuk mengambil kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahmi antara rakyat dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka," tegas Presiden KEADILAN itu.