Program Rakan Muda mendapat sambutan hangat dari golongan belia pada sekitar tahun 90-an |
PROGRAM Rakan
Muda yang popular sekitar tahun 90-an akan diperkasa semula menerusi
pelbagai penambahbaikan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS),
Adam Adli Abdul Halim.
Bercakap selepas merasmikan Program Neon
Night Fun Run and Run Walk di Dataran Sejarah Ayer Keroh semalam, Adam
Adli berkata, langkah memperkasa program itu bagi memastikan ia dapat
memberi impak lebih menyeluruh dan positif kepada golongan belia.
Penambahbaikan
itu akan meliputi pembangunan potensi dan pembentukan karakter belia,
pembangunan potensi, dan semangat kesukarelawanan berdasarkan keperluan
mereka serta perkembangan semasa dunia.
"Program Rakan Muda masih
berjalan namun kita mahu ia menjadi satu daripada program utama KBS
sekali gus kembali menjadi program flagship (kemegahan) kementerian agar
dapat mengembalikan semangat asal Rakan Muda.
"Menerusi usaha
ini, masyarakat boleh mendapat manfaat terutama belia yang masih
bersekolah dan golongan NEET (belia tercicir dari pekerjaan, pendidikan
dan latihan formal) seperti mereka yang baharu tamat persekolahan atau
mempunyai masa untuk meneroka minat masing-masing," katanya.
Sebagai
rekod, prgram Rakan Muda adalah program pemupukan minat, penggilapan
bakat dan penyerlahan potensi diri melibatkan belia berumur 15 hingga 25
tahun yang diperkenalkan kerajaan pada 1994.
Mengulas lanjut rancangan itu, Adam yang juga Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN berkata usaha memperkasakan program itu akan melibatkan kerjasama pelbagai pihak seperti persatuan belia dan sukan sedia ada di negara ini.