KAJIAN bagi
mewujudkan sebuah Majlis Hukuman untuk meneliti semua hukuman kesalahan
jenayah termasuk berkaitan dadah dalam perundangan Malaysia sedang
diteliti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan
Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Majlis akan sedia garis panduan berhubung hukuman |
Menurut
beliau, majlis itu akan menyediakan garis panduan dan pengurangan
hukuman penjara dan menggalakkan hukuman rehabilitasi dan hukuman
restoratif dalam undang-undang jenayah Malaysia.
Azalina dalam
satu kenyataan berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan
Perdana Menteri (JPM) juga sedang menilai kaedah untuk pindaan Akta
Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954.
"Ia bagi menggalakkan
rehabilitasi berasaskan komuniti, dan bukan penjara bagi pesalah yang
dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan ke bawah terutama bagi pesalah
kali pertama.
"Ini termasuk kesalahan dadah kecil yang menyumbang
63 peratus daripada banduan di Malaysia," katanya dalam kenyataan yang
dikeluarkan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala
Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023.
Azalina berkata menangani isu
kesesakan di penjara menjadi keutamaan hak asasi manusia bagi kerajaan
memandangkan risiko yang dihadapi oleh banduan akibat keadaan penjara
yang sesak.
"Saya berharap dapat membentangkan hasil usaha-usaha
ini melalui kertas Kabinet secara bersama dengan Kementerian Dalam
Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi persidangan Parlimen
pada penghujung 2023," katanya.
Azalina dalam pada itu berkata
adalah penting bagi undang-undang dan agensi penguatkuasaan seiring
dengan perkembangan semasa terutamanya berkaitan dengan kemajuan dalam
pembuatan dadah sintetik yang canggih dan kaedah penyalahgunaan.
Menurutnya, undang-undang dadah sedia ada di Malaysia digubal pada tahun 1950-an.
"Pada
ketika ini, budi bicara kehakiman adalah sangat penting dalam menangani
penjenayah dadah berasingan daripada penagih dadah, dan bagi penagih
dadah, perlakuan secara individu seperti sama ada individu tersebut
adalah pengguna pertama, dan lain-lain perlu diambil kira.
"Budi
bicara kehakiman juga penting dalam memperkenalkan pilihan rehabilitasi
bukannya hukuman yang menekankan hukuman semata-mata," katanya.
Sementara
itu, Azalina berkata memahami bahawa kebergantungan dadah juga adalah
salah satu keadaan perubatan, kerajaan ingin menggunakan pendekatan
terhadap kebergantungan kepada dadah secara 'berhati-hati'.
"Kami
berharap untuk melihat penekanan pada intervensi perubatan, rawatan,
dan rehabilitasi dalam menangani isu kebergantungan dadah," katanya
mengenai mesyuarat JKMD itu.