SEJAK akhir-akhir ini isu kebebasan media kembali meniti dibibir masyarakat umum. Ia bukan perkara baru tetapi sejak sekian lama telah diperkata dan dibahaskan.
Benarkan media disekat atau cuma persepsi? |
Dengan hampirnya enam Pilihan Raya Negeri (PRN), isu kebebasan media ini terus dimainkan. Serangan tentunya diarahkan kepada pentadbiran kerajaan perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Biarpun Anwar sendiri pernah membuat kenyataan bahawa media harus berani membuat kritikan namun serangan tetap dihalakan terhadap kerajaan.
Serangan demi serangan ini dibuat kerana Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menjuarai isu kebebasan media ketika sebelum menjadi kerajaan.
Persoalannya adakah kebebasan media diera pentadbiran kerajaan perpaduan ini telah disekat? Sudah berapa banyak akhbar bercetak yang ditarik lesennya sejak tujuh bulan yang lalu? Sudahkan ada portal-portal berita yang diarahkan tutup sejak tujuh bulan lalu?
Jika ada pun ada pun kecacatan selama tujuh bulan kerajaan perpaduan ini dalam isu kebebasan media adalah apa yang dilakukan oleh Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil iaitu ketika memanggil pasukan pengarang Berita Harian berhubung isu hantaran di Facebook yang mengaitkan tentang kenaikkan kadar semalaman (OPR).
Yang kedua adalah insiden Fahmi memberi amaran ketika sesi live Tik Tok beliau bahawa akan ada petrol car datang ke rumah jika memberi komen yang negatif.
Benar ia tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi oleh Fahmi yang ketika menjadi pembangkang merupakan antara yang sering bercakap tentang isu kebebasan media. Selain dari ini, tidak ada media diambil tindakan kerana melakukan kritikan terhadap kerajaan perpaduan.
Semua media di negara ini masih bebas menyiarkan berita atau rencana yang kritikal kepada kerajaan. Penganalisis politik dan ekonomi juga masih bebas mengkritik jika ada polisi kerajaan perpaduan yang dirasakan tidak sesuai.
Cuma baru-baru ini sahaja ada sebuah portal yang mendakwa terdapat usaha menyekat akses pembaca. Portal tersebut cuba membina persepsi dan mengolah persetujuan rakyat bahawa kerajaan perpaduan menyekat kebebasan media.
Benarkan akses MalaysiaNow disekat sehingga ia menimbulkan satu misteri? Atau MalaysiaNow sendiri menjadikan portal mereka dihalang aksesnya dan menyebarkan seolah-olah pihak lain melakukannya?
Portal MalaysiaNow ini wujud kira-kira tiga tahun lepas iaitu selepas Langkah Sheraton yang telah menjatuhkan kerajaan PH yang baru mentadbir negara selama 22 bulan. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa portal ini didanai oleh salah seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN). Tunjang utama editorial MalaysiaNow juga diketahui terlibat dalam usaha-usaha menjatuhkan kerajaan PH.
Jadi jika taukehnya dari PN sudah tentulah tidak ada yang molek dari kerajaan perpaduan ini akan digambarkan. MalaysiaNow sendiri tidak bebas dan terpaksa dicucuk hidung seperti lembu dan mengikut kehendak tuannya.
Bagi MalaysiaNow hanya ketika pentadbiran PN sahaja negara ini berada pada landasan yang tepat biarpun satu dunia tahu bahawa Malaysia satu-satunya negara yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling lama.
Biarpun ketika PN menerajui negara parlimen tidak bersidang dan darurat dilaksanakan, ia tetap cemerlang di mata MalaysiaNow dan dianggap berada pada landasan yang betul.
MalaysiaNow sebenarnya bukan lah benar-benar meraikan kebebasan media. Mana mungkin portal yang mendapat dana dari tokoh politik akan bebas. Berita dan rencananya tentulah akan berpihak.
Ketika PN mentadbir negara, MalaysiaNow berusaha memberi gambaran bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan baik. Ketika PN memerintah, MalaysiaNow berusaha membina persepsi bahawa kejatuhan nilai ringgit bukan kerana pentabiran yang tidak cekap.
Contohnya pada 18 Jun 2022, MalaysiaNow menerbitkan berita bertajuk “Faktor luar punca utama ringgit merosot, kata pakar ekonomi”. Pada 14 September 2022 pula MalaysiaNow menerbitkan berita bertajuk “Nilai ringgit akan terus jatuh, kata pakar ekonomi”.
Kedua-dua berita ini menyiarkan pendapat penganalisis yang melihat faktor luar menyebabkan nilai ringgit merosot. Berita itu juga memberi gambaran nilai ringgit akan pulih dalam tempoh tertentu.
Namun apabila nilai ringgit merosot ketika pentabiran kerajaan perpaduan, MalaysiaNow membuat serangan terhadap perdana menteri dan gigih berusaha menimbulkan persepsi bahawa kejatuhan mata wang negara disebabkan ketidakcekapan pentadbiran kerajaan bari ini. Tidak ada lagi faktor luar yang mempengaruhi kejatuhan nilai ringgit. Semuanya kerana salah seorang manusia bernama Anwar Ibrahim.
Pihak yang menyalurkan modal kepada MalaysiaNow tentunya mengarahkan pasukan editorial portal tersebut melakukan serangan demi serangan terhadap Anwar dan kerajaan perpaduan. Kebenaran tidak penting asal sahaja fitnah dan persepsi buruk terus diwujudkan.
Jika MalaysiaNow sendiri tidak bebas menentukan halatuju editorialnya dan terpaksa mengikut telunjuk ‘paymaster’ mereka, adakah layak untuk portal tersebut bercakap soal kebebasan media dan seterusnya menimbukan persepsi bahawa media di negara ini sudah dikawal.