LOAS berminat menjalin kerjasama dengan Malaysia menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mendapatkan pensijilan halal untuk produk keluaran negara itu.
Lawatan ke Loas kukuh hubungan dengan jiran |
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar sebagai penutup lawatan rasmi dua hari ke Laos semalam.
Jelasnya, minat itu telah dinyatakan oleh rakan sejawatnya Dr Sonexay Siphandone dalam pertemuan kedua-dua pemimpin pada Selasa.
"Pensijilan ini akan diselenggara oleh Jakim dan beliau sangat tertarik dan akan arah pegawainya untuk bekerjasama dengan Jakim bagi mengembangkan industri halal di Laos,” katanya kepada media Malaysia.
Anwar sebelumnya mengadakan mesyuarat dua hala dengan Siphandone di Pejabat Perdana Menteri di Vientiane.
Kedua-dua pemimpin kemudian menyaksikan pertukaran dua memorandum kerjasama serta masing-masing satu memorandum persefahaman dan surat niat antara syarikat Malaysia dan Laos sempena lawatan itu yang membabitkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mutiara Perlis Sdn Bhd (MPSB) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Kerjasama antara TNB dan Electricite du Lao (EDL) untuk menerokai potensi tenaga boleh baharu hidro di Laos dijangka memberikan pulangan RM460 juta hingga RM2.3 bilion setahun kepada TNB mulai 2025.
Anwar berkata, lawatan sulung beliau ke negara itu berjaya membawa manfaat kepada Malaysia dalam menjalin hubungan dua hala yang lebih erat dengan negara serantau terutama menjelang Kepengerusian ASEAN 2024 oleh Laos.
Malah Siphandone turut memberi jaminan akan meneruskan sokongan kepada projek-projek yang membabitkan syarikat Malaysia di Laos.
"Walaupun ini adalah satu lawatan singkat tapi sangat bermanfaat kerana saya berpeluang berjumpa dengan Presiden Laos (Dr Thongloun Sisoulith) bagi mengucapkan terima kasih untuk kerjasama projek hidro.
"Perdana Menteri Siphandone pula beri kerjasama yang sangat baik untuk tingkat hubungan perdagangan dan hubungan dua hala,” katanya.